Latest

Thursday, April 11, 2019

Akauntan di Pahang rugi RM95,668 ditipu sindiket 'parcel scam'



11 April 2019 (BH Online)

BERA: Seorang akauntan di Triang, di sini, kerugian RM95,668 selepas ditipu sindiket parcel scam apabila berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota tentera bernama ‘Liegh Hester’ kononnya dari Libya.
Pada 11 Februari lalu, mangsa wanita berusia 53 tahun itu mula berkenalan dengan suspek selepas menerima emel daripada lelaki itu dengan mendakwa dia seorang tentera di Libya dan mempunyai duit sebanyak AS$9 juta (RM37 juta).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek memberitahu mangsa dia akan menghantar duit berkenaan yang diletakkan di dalam peti besi kepadanya.
“Suspek juga memberitahu penghantaran peti berisi duit itu akan diuruskan oleh syarikat Lomar Shipping Limited yang berpangkalan di London,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikatakan bersetuju dan memberikan alamat rumah dan nombor telefonnya sebelum menerima panggilan daripada seorang lagi suspek mendakwa wakil syarikat kurier berkenaan.
“Namun untuk mendapatkan peti berisi duit berkenaan, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran. Mangsa membuat sebanyak 12 kali transaksi wang ke dalam tiga akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM95,668,” katanya.
Mohd Wazir berkata, bagaimanapun, sehingga kini, mangsa masih belum menerima peti berisi wang berkenaan dan gagal menghubungi syarikat kurier berkenaan.
“Mangsa yang menyedari ditipu sindiket terbabit kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini, semalam.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan memperdaya mangsa dalam urusan penghantaran peti berisi wang sehingga memaksa wanita itu memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a comment

Upcoming Events on Islamic Finance, Wealth Management, Business, Management, Motivational Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Please Join my facebook's fan page