Postings are in English and Malay-Bahasa Melayu

Sunday, February 12, 2017

Biodata dan Sejarah Ringkas Imam Al-Ghazali


Imam Al Ghazali r.a.h adalah tokoh ilmu sufi yang terkenal, lebih lebih lagi di kalangan mereka yang mempelajari kitab kitab karangan beliau seperti Ihya Ulumuddin, Minhajul Abidin, Bidayah Alhidayah dan lain lain lagi.

Nama sebenar imam Al Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al Ghazali Altusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Alghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah Kharasan, Parsi, (Iran). Dengan itu Alghazali bererti org ghazalah, kemungkinan juga panggilan tersebut dinisbahkan kepada bapanya seorang tukang tenun kain bulu yang dalam bahasa arabnya dikatakan alghazzal.

Imam Al-Ghazali juga digelar Abu Hamid, yang bererti bapa kepada Hamid iaitu dinisbahkan kepada anaknya. Beliau juga digelar hujjatul Islam iaitu suatu gelaran penghormatan yang diberikan kepadanya kerana kejituan dan kekuatan hujjahnya di dalam membela agama islam.

Abu Hamid Muhammad Alghazali Altusi adalah seorang tokoh ulama' yang luas ilmu pengetahuannya dan merupakan seorang pemikir besar dalam sejarah falsafah islam dan dunia. Dalam ilmu feqah beliau bermazhab syafie sementara dalam ilmu kalam beliau mengikuti aliran assyaari atau ahlu sunnah wal jamaah. Beliau lahir pada tahun 450H bersamaan 1058M.

Bapanya adalah seorang miskin yang soleh, makan dari hasil usaha sendiri menenun pakaian daripada bulu kemudian menjualnya di pekan Tusi.Beliau sangat suka belajar ilmu agama dan mendampingi para ulama' sufi. Beliau meninggal dunia semasa Alghazali dan saudaranya yg bernama Ahmad masih kecil tetapi sempat menyerahkan sedikit wang saraan serta mewasiatkan tentang pengurusan pembelajaran kedua anaknya itu kepada sahabatnya yang miskin yang menjadi guru dan ahli tasawwuf.

Sahabatnya itu telah mendidik dan mengajar mereka berdua menulis sehinggalah wang peninggalan bapanya habis.kemudian sahabat itu telah menasihatkan Alghazali dua bersaudara agar pergi ke Tusi belajar di sebuah sekolah yang didirikan oleh perdana menteri Nizam

Al malik,yang memberi saraan makan, pakain dan buku buku kepada pelajarnya. Beliau sendiri tidak mampu menyara mereka berdua.

Dengan itu, mereka berdua meninggalkan ghazlah menuju Tusi. Di sana Alghazali belajar membaca, menulis ,menghafal Al Quran, ilmu nahu, bahasa arab, ilmu matematik dan juga ilmu feqah daripada As Syeikh Ahmad bin Muhammad ArRazakani.Beliau amat suka mempelajari ilmu feqah dan perundangan islam sementara saudaranya Ahmad amat suka mempelajari ilmu tasawwuf dan akhirnya menjadi ahli sufi dan pendakwah yang masyhur digelar Abu AlFatuh.

Pada tahun 469H,Alghazali telah melanjtkan pelajarannya ke Jarjan berguru dengan Abu Nasr Al Ismaili.Di sana beliau telah berkahwin kemudian beliau pulang ke Tusi selama tiga tahun. Dalam masa ini beliau belajar tasawwuf daripada Yusuf Annasaj,seorang sufi terkenal.

Dalam perjalanan pulang ke tusi daripada Jarjan,Alghazali telah dirompak termasuk kertas catitan pelajarannya.Daripada peristiwa itulah beliau mulai menghafal pelajarannya tidak lagi bergantung kepada nota catitan lagi.

Pada tahun 471H, Alghazali berangkat menuju ke sekolah tinggi Nizmiyyah di Naisabur. Di sana beliau belajar daripada Abu Almaa'li, Diyaauddin Aljawaini yang terkenal dengan gelaran Imam haramain. Berbagai cabang ilmu pengetahuan telah dipelajari daripadanya samada ilmu agama seperti feqah dan ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik,jidal,hikmah dan lain lain sehingga beliau mengetahui berbagai mazhab, perbezaan pendapat masing masing dan beliau dapat menolak tiap tiap aliran yang dianggap salah. Bahkan beliau dapat mengimbangi keilmuan gurunya itu.Di sini beliau mula mengarang berbagai buku dan berbagai bidang, diantara buku karangannya yang dikagumi gurunya ialah yang dinamakan al mankhul.

Sewaktu berada di Naisabur, Alghazali juga mempelajari teori dan amalan tasawwuf daripada seorang alim fakih dan ketua ahli sufi disana yang bernama Alfaramdi.Al ghazali juga belajar tasawwuf daripada Abu Bakar Al warak dan Abu Bakar Altusi.

Selepas kematian gurunya, Alghazali telah berpindah ke Muaskar atau askar,suatu tempat di Iraq, atas jemputan Nizam Almalik. Perdana menteri dari Sultan Turki yang berkuasa di bawah pemerintahan khalifah Abbasiyyah dari Baghdad. Di Muaskar, Alghazali diminta memberi pengajaran ssekali dalam dua minggu dihadapan pembesar dan para ahli ilmu disamping kedudukannya sebagai penasihat agung kepada perdana menteri. Dengan itu kedudukannya semakin penting dikalangan rasmi.Pengajian dua mingguan itu berlangsung selama lima tahun.

Selepas itu pada tahun 484H Alghazali telah dilantik menjadi Profesor kanan di universiti Nizmiyyah di Baghdad.Waktu itu beliau baharu berusia 34 tahun.Perlantikan ke jawatan itu belum pernah diberikan kepada sesiapa pun pada usia yang sebegitu muda,perlantikan itu adalah merupakan suatu penghormatan tertinggi di dalam dunia islam ketika itu.

Kemasyhuran beliau sebagai orang alim,guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat.Kuliahnya semakin menarik perhatian para pelajarnya,beratus ratus orang kenamaan dan terhormat turut menghadirinya.

Pada tahun 488H,khalifah al mustazhar billah yang baru ditabalkan menjadi khalifah ditahun  487H yang sedang menghadapi ancaman gerakan sesat golongan batiniah yang menimbulkan kekacauan,keganasan dan pembunuhan sulit terhadap sahabat akrab alghazali iaitu perdana menteri nizam almalik ditahun 483H,telah meminta alghazali menulis sebuah buku menerangkan keburukan keburukan golongan batiniah dan kebaikan kebaikan pemerintahan khalifah mustazhar. Alghazali telah menyahut permintaan tersebut dengan menulis bukunya yang dinamakan almustazhiri sempena gelaran khalifah.Buku berkenaan politik atau Negara ini juga dikenali sebagai "fadhaih al batiniah wa fadhail almustazhiri".Kemudian iikuti dengan buku yang lain antaranya hujatul haq,mufasil alkhilaf dan sebagainya.

Setelah berkhidmat selama 4 tahun di universiti Nizmiyyah, alghazali telah meletak jawatan pada bulan zulkaedah tahun 488H kerana beliau jatuh sakit selama enam bulan yang tidak dapat diubati oleh tabib ketika itu akibat dari pergolakan jiwa yang timbul dari keraguan

terhadap pemikiran falsafah dan pertentangan perasaan diantara nafsu cintakan pangkat dan harta dan antara cetusan jiwa suci mahu mengabdikan diri kepada Allah semata mata dengan beruzlah dan beramal ibadah gauh dari gah masyhur,kesenangan dan kemewahan duniawi yang sementara.

Alghazali telah memutuskan tekad untuk meninggalkan kota Baghdad dan kemewahannya demi untuk menjadi seorang sufi.beliau telah mewakafkan semua kekayaan harta bendanya,hanya yang diambil sekadar yang mencukupi bagi menyelenggara keluarga dan bekallan perjalanan nanti.Kemudian beliau menuju ke syam (Syria) dengan niat hendak berkalwah dimasjid jami' dikota damsyik.Disana beliau tinggal kira kira 2 tahun dengan melakukan uzlah,khalwah,mujahadah,riadah dan beribadat menurut tasawwuf yg dipelajarinya.Semua itu dilakukan untuk menjernihkan hati agar mudah berzikir kepada Allah Taala.Sambil beliau beribadah sambil pula beliau memberikan kuliah tasawwuf di salah satu sudut masjid itu yg sehingga sekarang,ianya dikenali sebagai sudut alghazali.Pada tiap hari beliau naik ke puncak menara masjid damsyik yang tinggi itu dan mengunci pintunya dari dalam agar terhindar dari gangguan orang.disinilah beliau berkhalwah melatihkan batin,berjuang menentang nafsu,melawan kemalasan hati,membersihgkan diri,mendidik akhlak dan menyucikan hati dengan memperbayakkan zikir Allah.Semasa beliau berada disinilah beliau menulis karyanya yang besar berjumlah 4 jilid iaitu ihya ulumuddin.

Dari Damsyik, diakhir tahun 490H beliau berangkat ke baitul maqdis di Palestin untuk meneruskan ilmu kesufiannya dengan mengunjugi masjid al aqsa dam masuk ke dalam sahkrah setiap hari kemudian menguncinya dari dalam untuk berkhalwah dan berdoa memohon hidayah daripada Allah subhanahu Wa Taala.

Alghazali tidak lama tinggal di palestin kerana beliau terpaksa menyelamatkan diri dari keganasan tentera salib kristian yang berjaya merampas Palestin dari kaum muslimin. Beliau menuju ke kaherah Mesir dan kemudian ke Iskandariah. Beliau hanya berada

sekejap saja di Mesir, kemungkinan disebabkan ulama' Universiti Al azhar ketika itu dibawah kekuasaan kerajaan Fatimiyyah dari golongan syiah tidak memberikan sambutan yang baik, dan kemungkinan juga kerana perbezaan fahaman antara ASWJ dengan syiah.

Dikatakan Alghazali telah berazam bertolak dari Mesir menuju Maghribi untuk menemui Amir Yusuf bin Tasfin, seorang amir yang sukakan cendikiawan tetapi kemudiannya beliau menukarkan niatnya menuju ke tanah suci Makkah dan Madinah setelah mendapat tahu tentang kematian Yusuf bin Tasfin.

Kira kira 8 tahun berada di Hijjaz beliau pun merasa rindu hendak pulang ke Baghdad untuk menziarahi keluarga, anak anak dan isterinya.  Sungguhpun Al ghazali menjadi seorang zuhud, wara', namun kecintaan kepada anak anak dan isteri mempengaruhi beliau untuk pulang. Beliau cintakan Allah serta cintakan kepada keluarga dan anak isteri tetapi cintakan Allah mengatasi segala galanya. Oleh itu Alghazali mengimbangkan di antara dua kehidupan,dunia dan akhirat.


Al Ghazali tidak lama tinggal di Baghdad kali ini kerana pada tahun 499H beliau berpindah ke Nisabur.Di sana beliau telah diangkat menjadi ketua Prof. kanan di universiti Nizmiyyah cawangan Nisabur oleh perdana menteri Fakhrul Al malik, anak perdana menteri Nizam Almalik. Alghazali kemudiannya kembali ke Tusi tempat kelahirannya pada tahun 500H setelah Fakhrul Almalik menerima nasib yang sama dengan ayahandanya, mati dibunuh oleh puak batiniyyah.Di Tusi, Alghazali telah mendirikan sebuah madrasah dan mengajar para pelajarnya tentang hukum, akidah dan tasawwuf.

Ahmad, anak sulung Nizam Almalik yg dilantik menjadi perdana menteri menggantikan saudaranya yang mati dibunuh telah meminta Alghazali bertugas semula di universiti Nizmiyyah. Alghazali yang kini mengajar kerana Allah dan bukan kerana mengejar pangkat, kemuliaan dan perdampingan diri dengan khalifah sebagaimana masa lampau telah menolak permintaan itu.lebih lebih lagi, pada masa itu beliau tidak suka lagi melibatkan diri dalam majlis majlis perdebatan dan pelajarnya seramai 150 orang di Tusi sukar untuk pergi ke Baghdad berpindah bersamanya.

Alghazali menghabiskan hari hari akhir kehidupannya dengan mengarang, mengajar dan juga belajar. Sebelum itu beliau tidak dapat menumpukan peerhatiannya kepada pembelajaran ilmu hadith.Oleh itu beliau telah mempelajari sahih bukhari dan muslim di bawah seorang muhaddith terkenal iaitu hafiz A'mr (ain.mim,ra) bin Abu Hassan al Rawasi, malah beliau telah mendapat ijazah dari mempelajari kedua dua kitab tersebut.

Sebelum meninggal dunia, Alghazali telah mengarang ratusan buku dalam berbagai bidang seperti falsafah, mantik, agama,akhlak, tasawwuf, kenegaraan dan teori pemerintahan tetapi hasil karyanya yang tinggal sekarang tidak sampai pun seratus buah. Di antara karyanya yang telah di terjemah ke dalam bahasa melayu atau Indonesia ialah ihya ulumuddin, bidayah alhidayah, minhajul abidin, mizan al a'mal, ayyuhal walad, kimia assaadah dan lain lainnya.Di antara buku yang terakhir ditulis oleh beliau ialah minhajul abidin dan yang paling terakhir ialah buku berkaitan ilmu kalam.

Alghazali meninggal dunia yang fana' di Tusi pada hari Isnin,14 Jamadil Akhir tahun 505H bersamaan 19 Disember 1111M dan disemadikan diperkuburan Tabiran.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com 
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

No comments:

Post a Comment

Upcoming Events on Islamic Finance, Wealth Management, Business, Management, Motivational Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Please Join my facebook's fan page