Postings are in English and Malay-Bahasa Melayu

Saturday, March 01, 2014

Makna dan Kelebihan Selawat



Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para Malaikat. Selawat Malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya.( kitab “Zadul Masir”, 6/398).

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

“Dialah yang berselawat kepadamu (Wahai manusia) dan Malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).

Sabda Rasulullah SAW : 
“Aku diberikan lima hal yang tidak diberikan kepada para Nabi sebelumku dan aku tidak mengatakannya dengan sombong. Aku diutuskan kepada seluruh manusia yang merah (putih) dan hitam. Aku diberi pertolongan dengan penuh rasa takut perjalanannya mencapai sebulan (Israk’ mi’kraj) dan dihalalkan bagiku harta rampasan perang dan itu tidaklah dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku, dan dijadikan bagiku di bumi masjid dan merupakan tempat yang suci bagiku, dan DIA memberikan syafaat dan aku melimpahkan syafaat itu kepada umatku pada hari Kiamat dan itu adalah bagi siapa yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu”.

Sahabat-sahabatku, 
Seutama-utama pintu kelapangan adalah selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Allah SWT mewahyukan kepada Musa a.s.: “Apakah engkau mahu supaya Allah dekat kepadamu daripada ucapanmu sampai kepada lisanmu, dari rohmu sampai kepada tubuhmu, dari pandangan mu sampai kepada kedua matamu dan pendengaranmu sampai kepada kedua telingamu, maka perbanyakkanlah selawat kepada Nabi Muhammad SAW”.

Sesungguhnya orang yang sibuk berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah sama tempat dan keadaannya sebagaimana mereka yang selalu melafazkan tahlil, tasbih dan tahmid. Itu merupakan Ibadah zikir dengan lafaznya dan maknanya. Sesungguhnya selawat itu mengandungi zikir kepada Allah dan bersyukurlah kepadanya dan mengenal nikmat-Nya terhadap hamba-Nya (Muhammad SAW) dengan pengutusannya. 

Buah hasil daripada berselawat kepada Nabi Muhammad SAW , di antaranya :

1) Menunjukkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan persetujuannya dalam berselawat ke atas baginda SAW dan para Malaikat-Nya dalam berselawat ke atas baginda. 

2) Mendapat sepuluh selawat daripada Allah SWT kepada orang yang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak satu kali. 

3) Selawat merupakan sebab mendapatnya syafaat dari baginda Rasulullah SAW.

4) Sebab untuk cukupnya keperluan hamba terhadap apa yang penting baginya.

5) Selawat menuntun orang yang selalu berselawat ke jalan menuju Syurga dan menghindarkannya dari tidak mendapat jalan tersebut.

6) Selawat juga penyebab kekalnya pujian dan keberkatan Allah kepada orang yang berselawat, kerana orang yang berselawat meminta kepada Allah untuk memuji Rasul-Nya, memuliakannya, meninggikan darjatnya dan memberkati keluarganya. Permintaan ini pasti akan diterima dan orang yang mengucapkan selawat juga mendapat bahagian dari itu serta mendapat ganjaran dari amal yang dilakukannya. 

7) Berselawat merupakan sebab kecintaan secara terus menerus seorang hamba kepada Rasulullah SAW, lalu Allah akan menambah kecintaan itu sehingga berlipat ganda dari kecintaan itu. Ini merupakan simpulan dari simpulan Iman yang tidak sempurna kecuali dengannya. Ini juga penyebab untuk menambah kecintaan Rasulullah SAW bagi orang muslim dan memperlihatkan nama orang yang berselawat kepada Rasulullah SAW. Dan cukuplah bagi seorang hamba kemuliaan akan disebut di hadapan Rasulullah SAW. 

8) Selawat merupakan sebab diampunkan dosa dan sebab terpenuhnya segala keperluan dan sebab bagi hamba melalui titian sirat tanpa hambatan, sebab untuk mendapat keberkatan dan Rahmat.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata : “Wahai Rasulullah, doa apakah yang lebih utama ? Rasulullah SAW menjawab : “Berselawat kepadaku”. Lelaki itu berkata : “Aku membuat sepertiga ibadahku berselawat kepadamu”. Rasulullah SAW bersabda : “Jika demikian engkau telah diberi petunjuk”. Lelaki itu bertanya lagi : “Aku menjadikan setengah dari ibadahku, berselawat kepadamu”. Sabda Rasulullah SAW : “Jika demikian, dicukupkan bagimu”. Lelaki itu berkata lagi : “Aku menjadikan seluruh Ibdahku dengan berselawat kepadamu”. Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang menjadikan seluruh Ibadahnya berselawat kepadaku, maka Allah akan menunaikan baginya seluruh kepentingan dunia akhirat”. (H.R. Tirmidzi dan dikatakan hadith hasan)

Sesungguhnya Allah SWT mewahyukan kepada Daud di dalam kitab Zabur : “Wahai Daud, sesungguhnya akan datang selepasmu seorang Nabi yang namanya Ahmad dan Muhammad, seorang yang terpecaya dan seorang pemimpin (umat seluruhnya). Aku tidak marah kepadanya dan ia tidak pernah marah kepada-Ku selama-lamanya. 

Aku telah mengampuni dosanya kepada-Ku dari dosa yang lampau dan akan datang, umatnya umat yang dikasihi. Aku memberikan kepada mereka daripada perbuatan sunat seperti yang Aku berikan kepada para Nabi dan Aku memfardhukan kepada mereka, apa yang Aku fardhukan kepada para Nabi dan Rasul sehingga mereka menjumpai-Ku pada hari Kiamat dan nur mereka laksana nurnya para Nabi dan Rasul, sehingga Allah berfirman : 

“Wahai Daud, Aku mengutamakan Muhammad dan umatnya seluruh umat”.

Subhanallah, sahabat….begitulah keistimewaan yang Allah anugerahkan kepada kita sebagai umat Muhammad , maka janganlah kita meninggalkan amalan berselawat kepadanya.

---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

No comments:

Post a Comment

Upcoming Events on Islamic Finance, Wealth Management, Business, Management, Motivational Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Followers