Postings are in English and Malay-Bahasa Melayu

Saturday, February 15, 2014

Kelebihan dan Cara Untuk Khusyuk Dalam Solat

1. Sebenarnya khusyuk dalam solat adalah sangat-sangat dituntut seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya” [Surah Al-Mukminun: ayat 1-2].
Firman-Nya lagi:
"Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238]
2. Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.
Firman Allah lagi yang bermaksud, 
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]
3. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya."
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w.
"Aku selalu mengingati mati dalam solat." serta "Apabila kamu solat anggaplah solat ini solat perpisahan". '
4. Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan solat yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan solat:
i. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya  datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
ii. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
iii. Mendirikan solat di awal waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan solat itu.
6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.
8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan mengkhayalkan pemikiran.
11. Mendirikan solat secara berjemaah.
12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud.
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
15. Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam solatnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:
"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

No comments:

Post a Comment

Upcoming Events on Islamic Finance, Wealth Management, Business, Management, Motivational Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Followers