Postings are in English and Malay-Bahasa Melayu

Tuesday, August 20, 2013

Ayat 22, 23, 24 surat Al-Hasyr: maksud dan kelebihannya


Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

(Al-Quran, surah Al-Haysr (59), ayat 22,23 dan 24)


Dalam hadith berikut kita diajarkan oleh Rasulullah (s.a.w) kalimat penjaga kesejahteraan dan keselamatan kita setiap hari. Pasti terpelihara kalaulah kita amalkan setiap hari, pagi dan petang atau siang dan malam. Kita terdedah kepada pelbagai keburukan dan kecelakaan dunia yang dikerjakan oleh orang lain sama ada secara langsung terhadap kita atau secara kebetulan kita berada di tempat yang bahaya tersebut berlaku. Oleh itu dengan membaca doa dalam hadith ini Allah (s.w.t) menyuruh para malaikat menjaga keselamatan kita. (Musibah hanya terkena jika memang sudah Allah (s.w.t) takdirkan mengenai kita.

Menceritakan hadith oleh Nafi' b Abi Nafi' hadith dari Ma'qil b Yasar hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa membaca (atau berdoa) di waktu pagi tiga kali (kalimah) 'A'uzubillahis-sami'il 'alimi minas-syaitanir rajim(yg bermaksud: 'Aku memohon perlindungan dgn Allah (a.w) zat yg Maha mendengar lagi Maha Berilmu (yakni, mengetahui) dari syaitan yg direjam.') kemudian membaca tiga ayat (terakhir) dari Surah al-Haysr, maka menyerahkan Allah (s.w.t) untuknya (iaitu, orang yang membaca) 70,000 malaikat yang mendoakan keselamatan atasnya sehingga sampai petang hari. Dan, jika mati dia di dalam demikian hari, maka matinya adalah seumpama mati syahid. Dan, barangsiapa membacanya pula ketika petang ada baginya dengan demikian tempat orang yang membacanya (iaitu, seumpama yang dikurniakan Allah (s.w.t) bagi orang yang membacanya di pagi hari tersebut).' [Hadith Imam Ahmad di dalam Tafsir ibni Kathir]

Demikianlah tingginya manfaat kepada kita yang membaca doa tersebut di atas itu. Kita memperolehi beberapa keuntungan: pertama, keselamatan kita pasti terjaga setiap hari, kerana dijaga oleh 70,000 malaikat yang ditugaskan oleh Allah (s.w.t) menjaga kita. Dijaga dari pagi sampai petang apabila dibaca ketika pagi dan dijaga dari petang hingg pagi esok apabila dibaca ketika petang. Kedua, jika ditakdirkan kita mati siang atau malamnya, kita dikira mati seumpama mati syahid, pasti mendapat syurga. 

Sila buka al-Quran dan lihat tiga ayat terakhir Surah al-Haysr, iaitu: Ayat-ayat 22, 23 dan 24.
Ayat 22 bermula dgn: 'Huallahul lazi lailaha illa hua ..ar-rahmanur-rahim'; Ayat 23 bermula dgn: 'Hual-lazi lailaha illa hual-maliku ..'amma yusrikun'; dan Ayat 24 bermula dgn: 'Huallahul-bariul musauwiru ...wa-hual 'azizul- hakim''.

Jelasnya, baca dahulu kalimah Ta'awuz (i.e. perlindungan) yang disebutkan di atas itu tiga kali kemudian bacalah tiga ayat akhir Surah al-Haysr tersebut sekali ketika subuh (atau, pagi) dan sekali ketika petang (sama ada selepas 'Asar atau Maghrib). Sebaik-baiknya selepas mengerjakan Solat Subuh dan selepas mengerjakan Solat 'Asar, kerana ketika dua waktu itulah malaikat yang menulis amalan manusia itu bertukar syif - yang bertugas malam naik ke langit ketika Subuh dan malaikat bertugas siang turun ke dunia waktu tersebut, begitulah juga di waktu 'Asar yang bertugas siang naik ke langit dan yang bertugas malam turun ke bumi. Mereka akan bertukar-tukar nota serah tugas dan kemudian melapurkan kepada Allah (s.w.t). Hanya dua solat ini dilaporkan dua golongan malaikat tersebut, maka kerana malaikat itu sentiasa mendoakan orang-orang beriman, maka doa mereka lebih afdhal. Maka dengan itulah Solat Subuh dan Solat 'Asar itu amat penting tidak ditinggalkan kerana dipersaksikan oleh dua golongan malaikat yang melaporkan kepada Allah (s.w.t) mereka yang mengerjakan solat-solat tersebut. Dan, dua solat fardu inilah yang sering tertinggal atau terlepas oleh ramai orang Islam hari ini kerana mereka bangun lambat dan kerana disebokkan pada waktu 'Asar. Dan, ingatlah, kedua-dua waktu solat ini pendek mudah terlepas.
Saudara, doa ini hanya mustajab bagi orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, iaitu yang beramal dan berpandu kepada al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Doa ini hanya mustajab jika orang yang mengamalkannya adalah orang yang tidak meninggalkan solat fardunya. Sesiapa yg dgn sengaja meninggalkan atau terlepas satu solat fardu, maka dia jatuh kafir. Maka dengan itu doa yang disebutkan dalam hadith ini tidak sekali-kali dapat membantu mereka! Kerana segala amalan, ibadah serta perbuatan baik orang kafir tidak diterima Allah (s.w.t). 
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

No comments:

Post a Comment

Upcoming Events on Islamic Finance, Wealth Management, Business, Management, Motivational Alfalah Consulting, KL-Malaysia: www.alfalahconsulting.com

Followers